HULU TERENGGANU: Seorang penunggang motosikal Yamaha RXZ maut selepas motosikal ditunggangi bergesel dengan sebuah lagi motosikal sebelum dirempuh sebuah kereta di Kilometer 406.4 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), Ajil-Telemong, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.45 malam itu, Mohd Yusri Rusdi, 38, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintendan Sharudin Abdul Wahab, berkata kemalangan membabitkan sebuah Honda HR-V dan dua motosikal Yamaha RXZ yang semuanya dalam perjalanan dari Ajil ke Telemong.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati ketiga-tiga kenderaan itu dalam perjalanan pulang dari Cherating, Pahang ke Kuala Terengganu.
"Sejurus tiba di lokasi, dua motosikal berkenaan dipercayai bergesel sesama sendiri sebelum terjatuh ke atas jalan raya.
"Kereta yang datang dari arah belakang kemudian merempuh penunggang motosikal yang terjatuh di lorong kanan. Akibat rempuhan itu, mangsa tercampak ke kawasan longkang di sebelah kiri jalan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
"Mayat dihantar ke Hospital Hulu Terengganu untuk bedah siasat," katanya.
Sharudin berkata, seorang lagi penunggang motosikal berusia 34 tahun patah tangan kanan, manakala pemandu HR-V dan penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.







