ALOR SETAR: Kedah FA yang bakal berentap dalam pusingan 16 pasukan untuk saingan Piala FA musim ini berazam memanfaatkan peluang mendapatkan bekalan gol pada aksi pertama menentang pasukan Star City FC (SCFC) di laman sendiri, Stadium Darul Aman malam esok.

Pengendali pasukan, Akmal Rizal Ahmad Rakhli berkata meskipun beliau sedar status pasukan Liga A1 buat skuadnya menjadikan mereka 'underdog', itu bukanlah penghalang utama bagi pemainnya untuk mempamerkan kemampuan berdepan pasukan SCFC yang beraksi dalam Liga Super musim ini.

"Kita tahu apabila bertemu pasukan Liga Super seperti SCFC, ia bukan satu tugas yang mudah buat kami dari Liga A1. Ini kerana salah satunya adalah kelebihan buat mereka (SCFC) kerana pasukan Liga Super boleh menggunakan enam pemain import dan mereka lebih berkualiti, berbanding kami pula, kami hanya memilki tiga pemain import.

"Kami bukan pasukan pilihan, dan kami sedar jurang kualiti pemain import dan tempatan dalam pasukan masing-masing. Namun disebalik itu, di atas padang macam-macam keputusan boleh berlaku atas usaha pemain sendiri yang diberi peluang, dan sebagai jurulatih, saya mahu laksanakan pelan terbaik untuk menghadapi pasukan yang lebih kuat daripada kami.

"Jadi kami perlu merancang dengan cara yang terbaik bagaimana untuk mengimbangi kekurangan pemain import itu dengan mengharapakan pemain yang akan diturunkan bersedia dan tahu bagaimana hendak mengikut pelan yang kami aturkan untuk mendapatkan kemenangan untuk aksi pertama ini," kata Akmal Rizal selepas tamat latihan pasukan di Stadium Darul Aman semalam.

Tambah Akmal Rizal lagi, skuad Hijau Kuning sudah melakukan persiapan yang terbaik dengan tiga pemain import skuadnya - pemain pertahanan Barry Ibrahima, Anthony Arthur (tengah) dan Raymond Mbugua (penyerang) - turut membuat penampilan sulung pada aksi pembukaan Liga A1 Semi-Pro 2026-27 menentang Imigresen FC II sebelum ini.

"Sepanjang perlawanan pramusim saya lihat pemain import kami bersedia. Namun selepas aksi pertama bertemu IFC II sebelum ini saya rasa masih ada lagi kebolehan yang mereka belum keluarkan lagi dan hanya Anthony yang sudah beraksi musim lalu bersama Kelantan WTS FC, sementara Ibrahima dan Raymond pula ini kali pertama bersksi dalam liga kita.

"Saya dapat rasakan sekarang mereka sudah tahu bagaimana corak permainan dalam Liga A1 dan saya rasa aksi bertemu Star City FC ini mereka akan ada peningkatan prestasi dan memang pasukan mengharapkan tiga pemain import ini untuk menjadi 'core player' atau pemain yang menggerakkan pasukan.

"Dengan satu mata yang kami perolehi melalui aksi pertama kami dalam saingan Liga A1 menentang Imigresen FC II yang berkesudahan seri 1-1 lalu, kami anggap itu satu perkara yang positif dan kami akan bawa momentum itu dalam aksi Piala FA kali ini untuk memburu kemenangan pertama," katanya.

Aksi timbal balik dijadualkan berlangsung di Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar, Perlis pada 8 September ini.