KOTA BHARU: Kebanyakan negeri Kesultanan Melayu suatu ketika dahulu mendapatkan mahkota kebesaran dari England, namun berbeza bagi Kelantan apabila mahkota kebesaran dihasilkan oleh tukang Melayu tempatan dipercayai berasal dari Kampung Kubang Pasu di sini, sekali memiliki keunikan tersendiri.

Kini, mahkota berusia lebih 100 tahun itu dipamerkan kepada umum buat pertama kali sempena Festival Senjata Warisan Kelantan 2026 di Istana Balai Besar, Kota Bharu, berlangsung dari 16 Ogos lalu hingga Sabtu ini.

Pegawai Protokol Pejabat Sultan Kelantan, Mohamed Safaruddin Ismail berkata mahkota itu diilhamkan Sultan Ismail ibni Almarhum Sultan Muhammad IV yang memerintah Kelantan dari 1920 hingga 1944 dan mula digunakan pada 28 April 1921 sempena istiadat pertabalan baginda.

Beliau berkata pada istiadat berkenaan, mahkota itu dipakaikan kepada Sultan Ismail oleh Tengku Temenggung Abdul Ghaffar ibni Almarhum Sultan Muhammad II, sekali gus menjadi sebahagian daripada sejarah pemerintahan Kesultanan Kelantan.

"Keunikan mahkota ini ialah ketika kebanyakan negeri membuat mahkota kebesaran di England, mahkota Kelantan pula dihasilkan oleh tukang Melayu Kelantan yang dipercayai berasal dari Kampung Kubang Pasu.

"Ia memperlihatkan kemahiran pertukangan emas masyarakat tempatan pada ketika itu yang mampu menghasilkan alat kebesaran diraja dengan nilai seni yang tinggi," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Mohamed Safaruddin berkata, mahkota itu pada asalnya diperbuat daripada 16 bungkal emas sepuluh serta ukiran motif daun 'dala' muda, selain lambang bulan sabit dan bintang berujung lima di bahagian atasnya yang beralaskan baldu biru raja.

Beliau berkata, mahkota berkenaan kemudian melalui proses penambahan oleh Sultan-sultan Kelantan berikutnya, termasuk 470 butir berlian dan 52 butir zamrud dan delima ketika pemerintahan Almarhum Sultan Yahya Petra ibni Almarhum Sultan Ibrahim, manakala 721 butir berlian dan 44 butir zamrud ditambah ketika pemerintahan Almarhum Sultan Ismail Petra ibni Almarhum Sultan Yahya Petra.

"Mahkota ini satu-satunya mahkota bagi Kesultanan Kelantan dan biasanya hanya dibawa keluar untuk diletakkan di sebelah kanan singgahsana ketika sambutan Hari Keputeraan Sultan, jadi bukan semua orang berpeluang melihatnya secara dekat," katanya.

Mohamed Safaruddin pemilihan mahkota sebagai tarikan utama festival tahun ini turut mengambil kira sambutan orang ramai terhadap pameran alat kebesaran Kesultanan Kelantan sebelum ini, termasuk keris Tok Chu bersama Sampir Kuseriwa pada 2024 dan artifak ufti diraja Bunga Emas pada tahun lepas.

Beliau berkata, pahar untuk meletakkan mahkota itu pula diperbuat daripada emas tulen 999 dan dianggarkan seberat hampir satu kilogram.

"Sepanjang festival, kawalan keselamatan yang ketat dilaksanakan membabitkan anggota keselamatan awam," katanya.

Festival berkenaan turut menampilkan pelbagai senjata tradisional, pitis serta khazanah warisan Kelantan dan dijangka menarik 50,000 pengunjung berbanding 42,000 tahun lepas, selain berpotensi menerima lebih ramai pelancong asing terutama dari Indonesia susulan penerbangan terus Jakarta-Kota Bharu yang disokong peningkatan kemudahan di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra. – BERNAMA