KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor menghadiri Sambutan Hari Kebangsaan Hari Sabah 2026 di Dataran Bandaraya, di sini hari ini.

Beliau bersama isteri, Datin Seri Panglima Juliah Salag, tiba pada jam 7.25 pagi dan menerima tabik hormat daripada Pasukan Kawalan Kehormatan Utama sebelum menyambut ketibaan Yang Dipertua Negeri, Tun Musa Aman bersama Toh Puan Faridah Tussin.

Sambutan dimulakan dengan lagu Negaraku dan Sabah Tanah Airku, diikuti Istiadat Hormat Diraja serta pemeriksaan Kawalan Kehormatan Utama oleh Musa.

Upacara menaikkan Jalur Gemilang dan Bendera Negeri Sabah, lafaz Ikrar Rukun Negara serta persembahan koir, turut mewarnai sambutan.

Acara berjalan lalu kemudian menyaksikan perarakan Jalur Gemilang, Bendera Negeri Sabah, bendera semua negeri di Malaysia dan bendera tema Kebangsaan 2026, diikuti kontinjen perbarisan serta kategori kenderaan.

Sambutan turut dimeriahkan persembahan khas Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah dan Persembahan Aneka Warna sebelum majlis selesai kira-kira jam 10.30 pagi.