KENINGAU: Seramai enam artis seni visual dari kelab Tangan Keramat berjaya menghasilkan mural dinding bertemakan bumi Sabah yang canggih dengan teknologi di Kolej Vokasional (KV) Keningau, di sini.
Lebih membanggakan, mural berkenaan dihasilkan bersama 20 pelajar berkeperluan khas dari Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) pada 26 Ogos lepas.
Projek berkenaan mendapat sokongan Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Keningau sebagai salah satu inisiatif memyemarakkan ekonomi kreatif di kalangan belia.
Kelab Tangan Keramat yang berpusat di daerah Tenom ini merupakan kelab yang dikhususkan untuk belia bagi mengasah dan mempraktikkan bakat dan kemahiran dalam bidang seni visual seperti melukis mural, melakar 'doodle arts' serta menghasilkan arca, seterusnya memberi peluang pekerjaan kepada belia yang berminat dalam bidang seni.
Setakat ini, ia terdiri daripada 20 ahli yang berjaya menyiapkan pelbagai projek di beberapa tempat seperti arca di Muzium Sabah dan di Stesen LRT Masjid Jamek selain menyertai pelbagai festival seni di Sabah, Wilayah Persekutuan Labuan dan Putrajaya.
Seramai enam artis seni visual dari kelab itu termasuk pengasasnya iaitu Shah Rezza Balaludin yang melukis mural di kolej itu dalam masa empat jam dengan bantuan pelajar berkeperluan khas tingkatan 4.
Proses melakar dipercepatkan dengan penggunaan teknologi set kepala realiti maya (virtual reality headset) jenama Meta Quest.
Lima pelukis yang lain dari kelab itu adalah Mohd Sufiandi Samri, Nurismadi Ismawil, Mohammad Zulfarhan Mohammad Salleh, Jailon Baranis dan Mohd Ikram.
Wakil dari Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Keningau, Muhamad Khaled Januil @ Alip turut hadir memantau pelaksanaan projek itu.
Sementara itu, Pengarah KV Keningau, Lumang Anak Lang memuji usaha itu kerana ia membuka lebih banyak ruang kepada para pelajar KV Keningau untuk meneroka bidang seni visual yang kian berkembang sebagai industri kreatif di negara ini.
Katanya, usaha itu lebih bermakna apabila ia melibatkan para pelajar berkeperluan khas secara aktif dalam proses melakar dan mengecat.
Lumang berkata, KV Keningau sentiasa mengalu-alukan kelab komuniti seperti Kelab Tangan Keramat dan agensi kerajaan seperti Pejabat Belia dan Sukan untuk melaksanakan sebarang aktiviti di institut itu yang mampu memberi manfaat kepada semua pihak.







