SERDANG: Penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam sektor pertanian perlu diperkasa bagi membantu petani membuat keputusan lebih tepat, selain meningkatkan produktiviti dan mengurangkan risiko kerugian hasil.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata usaha memperkukuh pengeluaran padi perlu diberi perhatian berterusan kerana negara tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada bekalan import yang ketika ini masih diperoleh pada harga relatif rendah.

"Padi ini perkara yang kita tak boleh jemu untuk berusaha kerana ia ialah soal sekuriti makanan. Sekarang kita bernasib baik kerana padi di negara luar, beras yang kita import agak murah, tetapi kita tak boleh bergantung sebegitu selama-lamanya.

"Dalam keadaan geopolitik yang berlaku sekarang ini, apa-apa boleh berlaku. Kalau tersekat aliran perjalanan di laut dan sebagainya, kita akan hadapi masalah," katanya kepada media selepas menyempurnakan Majlis Peluncuran Laman Padi dan Pengiktirafan The Malaysia Book of Records, di Laman Padi, Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2026, di sini, semalam.

Laman Padi MAHA 2026 yang dibangunkan di kawasan hampir tujuh ekar itu menampilkan tujuh petak sawah serta dua pusat informasi dan galeri, dengan setiap ruang mengetengahkan pengalaman serta kisah berbeza berkaitan ekosistem padi dan beras.

Ia bukan sekadar memaparkan kegiatan penanaman padi, sebaliknya menggabungkan elemen teknologi, ilmu, inovasi, keusahawanan dan agropelancongan, selari dengan tema MAHA 2026, 'Penciptaan Nilai Demi Keterjaminan Makanan'.

Antara tarikan utama ialah Seni Padi, yang julung kali diketengah pada MAHA 2026 menggunakan varieti padi MR284 menerusi kerjasama strategik Serba Wangi Sdn Bhd yang membawa jenama Jati.

Seni Padi berkeluasan 119 kaki kali 126 kaki itu turut mendapat pengiktirafan The Malaysia Book of Records, sekali gus menjadikan sawah bukan sahaja sebagai kawasan pengeluaran makanan, tetapi berpotensi menjadi tarikan agropelancongan.

Mohamad berkata, pendekatan itu penting dalam mengubah persepsi masyarakat terhadap sawah yang kini bukan lagi sekadar tempat menghasilkan padi, sebaliknya turut menjadi ruang memperkenal teknologi, inovasi dan peluang ekonomi baharu.

"Kita bukan sahaja nak tanam padi, kita nak menggalakkan agropelancongan. Ini simbolik untuk memperkenal agropelancongan di laman-laman padi kita," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kementeriannya akan terus membantu usaha membuka semula kawasan sawah yang terbiar serta menaik taraf kawasan sedia ada bagi meningkatkan pengeluaran padi tempatan.

"Ruang kosong baharu, tapak terbiar perlu dibuka semula dan kerajaan akan membantu sekadar yang boleh.

"Misalnya, sekarang ini dibuka di Pekan, Pahang, yang ratusan ekar juga, dan tempat lain termasuk di Selangor," katanya.

Pada majlis sama, Mohamad turut melancarkan AcroSeeker, aplikasi pintar berasaskan AI yang dibangunkan oleh Agricultural Chemicals (Malaysia) Sdn Bhd (ACM) bagi membantu petani mengenal pasti penyakit, perosak dan rumpai pada tanaman.

Aplikasi berkenaan membolehkan petani menggunakan telefon pintar untuk merakam gambar simptom pada tanaman sebelum teknologi AI menganalisis imej berkenaan bagi memberikan panduan awal mengenai kemungkinan masalah yang dihadapi.

"Saya amat berbesar hati meluncurkan Aplikasi AcroSeeker yang dibangunkan oleh ACM. Kalau dahulu pesawah mengenal pasti penyakit dan masalah tanaman secara manual, hari ini kita perlu bergerak ke arah teknologi AI untuk masa depan pertanian yang lebih pintar.

"Pendigitalan bukan sekadar menggunakan teknologi. Pendigitalan mesti membawa manfaat sebenar terutama kepada pesawah. Kita mahu teknologi membantu pesawah membuat keputusan pengurusan tanaman yang tepat dan cekap sekali gus memberikan hasil yang baik," katanya.

Mohamad berkata, kecanggihan teknologi bagaimanapun, perlu disertai perubahan sikap dalam kalangan petani untuk memanfaatkan kemudahan yang disediakan.

"Apa hal pun yang paling penting semangat dan kerajinan. Kalau ada teknologi, alat-alat pun kita tak guna, ada dron kita tak terbangkan, maka kita ada di tahap yang sama.

"Itulah yang kita harapkan, perubahan sikap rakyat dan saya nampak memang ada perubahan ke arah itu," katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan, Jualan Domestik, Sektor Awam ACM, Mohd Asri Mahmud, berkata AcroSeeker dibangunkan oleh syarikat induk ACM dari Jepun, Nihon Nohyaku Corporation, sebelum dibawa ke Malaysia bagi membantu petani mengadaptasi teknologi digital dalam operasi pertanian.

Beliau berkata, kelebihan aplikasi itu bukan sekadar mengenal pasti serangga perosak, sebaliknya turut membantu pengguna mendapatkan maklumat mengenai penyelesaian berkaitan masalah tanaman.

"Dengan adanya AcroSeeker, petani dapat mengenal pasti serangga perosak di lapangan dan seterusnya mendapat penyelesaian. Itu yang penting.

"Kalau ada aplikasi yang hanya memberi pengenalan mengenai perosak, petani masih perlu mencari penyelesaian. Tetapi dengan AcroSeeker, mereka boleh mendapatkan maklumat dan penyelesaian secara lebih mudah," katanya.

Beliau berkata, aplikasi itu boleh dimuat turun dan digunakan secara percuma oleh petani, dengan pembangunan lanjut turut dirancang bagi membantu pengguna mengetahui lokasi produk atau input pertanian yang diperlukan.

"Buat masa ini, AcroSeeker tersedia untuk tanaman padi, tomato dan kubis, manakala fungsi mengenal pasti rumpai sedang dibangunkan.

"Penggunaan teknologi ini diharap dapat membantu petani menggunakan input pertanian secara lebih tepat dan bersasar, sekali gus meningkatkan kecekapan pengurusan tanaman," katanya.